Manifesto Hizbut Tahrir Untuk Revolusi Al-Syam: Ke Arah
Lahirnya Khilafah Ala Minhaj Nubuwwah Kali yang Kedua
[Kenyataan ini disampaikan oleh Hisham Al-Baba, Ketua Pejabat Media
HizbutTahrir Wilayah Syria di sidang media yang diadakan di pejabat
HizbutTahrir di Tripoli, Lebanon pada hari Khamis 28 Ramadhan 1433H
(16/08/2012)]
[SN320] Revolusi yang dikenali sebagai ‘Arab Spring’
tercetus kerana keinginan untuk menukar pemerintah dan rejim. Dari mula
lagi, tuntutan rakyat amat jelas dan tidak ada kesamaran di dalamnya.
Kerana itulah kita mendengar mereka melaungkan “Rakyat ingin jatuhkan
rejim”. Apa yang berlaku dalam revolusi di Tunisia, Mesir, Libya dan
Yemen adalah sama ada pemerintah berjaya dijatuhkan atau terbunuh,
tetapi sistem pemerintahannya tetap berterusan dengan corak yang sama
seperti sejak zaman kolonial iaitu demokrasi, negara sivil dan sekular –
sama seperti sistem yang terdapat di Barat. Apa yang berubah cuma
wajah-wajah pemerintah dan beberapa aspek pencalonan, pelantikan atau
pemilihan. Justeru, kegembiraan yang datang seiring dengan kejayaan
revolusi yang diberkati itu terus punah, tatkala revolusi itu dirosakkan
dan dirampas oleh Barat dengan pengenalan negara sivil demokrasi yang
diberikan (atau lebih tepat, direstui) Barat kepada umat Islam. Kesemua
revolusi itu punah sehinggalah terjadinya revolusi Al-Syam (Syria) yang
terkeluar dari kehendak Barat dan memperkenalkan bentuk pemikiran yang
berbeza kepada ‘Arab Spring’.
Revolusi Al-Syam tidak menerima masuknya racun ke dalam madu. Ia menolak
sekularisme, demokrasi dan juga slogan negara sivil. Ia menolak untuk
hanya berpuas hati dengan pertukaran wajah pemerintah semata-mata – ia
bertanya dengan tersentak, “Bukankah Bashar seorang yang sekular?!
Bukankah rejim dan perlembagaannya adalah berasaskan negara sivil?
Tidakkah kita menyaksikan sistem kapitalis Barat gagal sebagai sebuah
sistem yang global? Justeru, kenapakah kita perlu mengulangi ujikaji
yang gagal ini untuk mengembalikan negara kita kepada kegagalan,
sedangkan perlembagaan (Al-Quran) yang Tuhan semesta alam amanahkan
kepada kita berada di tangan kita?”. Sesungguhnya revolusi Al-Syam telah
mengesahkan identiti Islamnya apabila warganya mengisytiharkan “Ia
adalah untuk Allah” dan menganggap segala penderitaan mereka sebagai
pengorbanan demi mendapatkan ganjaran dari Allah semata-mata; apabila
Muslimahnya menurut jejak langkah Khansa, satu per satu; apabila
panji-panji al-Uqab (panji Rasulullah) dikibarkan; dan apabila seruan
menginginkan Khilafah mula berkumandang di dalamnya. Oleh itu, revolusi
ini bukan revolusi biasa!
Kuasa antarabangsa memerhatikan kelainan revolusi Syria yang diberkati
ini. Amerika (penaja Bashar dan rejimnya) yang sedang marah, yang
menyokong rejim Syria dengan segala kejahatannya, kononnya memberikan
tempoh waktu (deadline) kepada Bashar, mengadakan persidangan,
mengumumkan inisiatif dan menghantar misi pemerhati Arab dan
antarabangsa untuk menyelesaikan masalah. Walhal pada masa yang sama
mereka menghantar agen mereka sama ada secara zahir atau sembunyi, untuk
mendukung rejim Syria, tanpa mempedulikan darah yang tak henti-henti
ditumpahkan di Syria. Konspirasi komuniti antarabangsa terhadap warga
Syria telah sampai ke tahap menawarkan Bashar peluang untuk berundur
sebagai balasan untuk dia dan keluarganya keluar dengan selamat dari
Syria, setelah segala kejahatan yang dilakukannya. Inilah tahap di mana
mereka kini mengendalikan revolusi Syria.
Kami di HizbutTahrir percaya bahawa revolusi ini adalah terlalu bernilai
untuk jatuh ke lembah sekularisme dan penyesatan negara sivil; ia
terlalu bernilai untuk bertukar daripada keadaan yang ‘baik’ kepada yang
lebih buruk – iaitu dengan mengambil demokrasi Barat dan meninggalkan
Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Kami mahukan revolusi ini berakhir
dengan tegaknya agama Allah, dengan berdirinya Khilafah ala minhaj
nubuwwah. Jika ini berlaku, maka dua bisyarah (khabar gembira) akan
terealisasi, seperti yang disebut oleh Rasulullah SAW tentang peristiwa
akhir zaman,
“Kemudian akan muncul Khilafah di atas jalan kenabian” [HR Ahmad]
dan untuk warga Syam secara khusus di mana sabda baginda,
“Ingatlah bahawa pusat kepada Islam itu adalah di Syam” [HR at-Thabrani dalam al-Kabeer daripada Salamah bin Nufail].
Dalam revolusi ini, sesungguhnya kami melihat tanda-tanda tersebut.
Kami persembahkan dokumen ini yang terkandung di dalamnya manifesto
HizbutTahrir untuk sistem politik yang kami seru untuk dilaksanakan
selepas kejatuhan rejim Syria; dan sebagai jalan untuk mencapai objektif
ini. Kami amat prihatin bahawa revolusi ini terjaga dari dirampas oleh
kuasa penjajah dan daripada diselinapi oleh para oportunis yang berlegar
di sekeliling Barat yang membawa cara pemikiran Barat dalam
menyelesaikan krisis ini.
Manifesto HizbutTahrir untuk sistem pemerintahan di Syria adalah seperti berikut:-
● Akidah Islam hendaklah menjadi dasar negara dan asas kepada
Perlembagaan. Al-Quran dan As-Sunnah, dan apa yang dirujuk keduanya
berupa Ijmak Sahabat dan Qiyas hendaklah menjadi sumber hukum kepada
segala-galanya. Oleh yang demikian, hukum-hakam Islam akan menjadi
sistem kehidupan untuk individu, masyarakat dan negara.
● Bentuk sistem pemerintahan Islam adalah Khilafah, yang berbeza sama
sekali dengan segala bentuk sistem pemerintahan yang ada hari ini. Ia
bukan sistem beraja, dinasti, republik, diktator atau federal.
● Negara Khilafah bukanlah negara teokrasi (pemerintah dilantik oleh
Tuhan), sivil atau demokrasi. Ia adalah negara manusia (pemerintah
dibaiah oleh manusia) di mana kedaulatan berada di tangan syarak
(as-siyadah li asy-syara’) yang mana hukum-hakam Islam dilaksanakan di
dalamnya, manakala kekuasaan berada di tangan umat (as-sulthan li
al-ummah).
● Keamanan di dalamnya (Negara Khilafah) adalah keamanan Islam (berada
di tangan orang-orang Islam), di mana campur tangan asing tidak
dibenarkan, sebagaimana firman Allah SWT,
“Dan Allah sekali-kali tidak menjadikan jalan bagi orang-orang kafir menguasai orang-orang Mukmin” [TMQ an-Nisa’ (4):141].
Campur tangan asing di negeri-negeri umat Islam merupakan salah satu
dosa besar yang menjauhkan rakyat dan negeri tersebut daripada berhukum
dan bernaung dengan Islam.
● Sistem dalam Negara Khilafah adalah bersifat manusiawi – yang melihat
seseorang itu sebagai manusia, tidak kira apa keturunannya, agama atau
warna kulit. Ia menyelesaikan segala masalah – secara manusiawi – dengan
penyelesaian terbaik dan teradil yang ada di muka bumi, kerana ia
berasal dari Dzat Yang Maha Bijaksana dan Maha Pakar.
● Ikatan yang mengikat di antara warganegara adalah ikatan
kewarganegaraan. Jadi, sesiapa sahaja yang menjadi warganegaranya (sama
ada Muslim mahupun bukan) mempunyai hak menikmati penjagaan sepenuhnya
dari Negara. Negara tidak dibenar melakukan diskriminasi ke atas
warganegara baik dalam hal urus tadbir, undang-undang mahupun pengurusan
hal-ehwalnya.
● Fasal-fasal dalam perlembagaan Negara Khilafah datangnya dari hukum
syarak yang wajib dilaksanakan oleh Negara dan kesemua warganegara mesti
mematuhinya. Kaum Muslimin mematuhinya sebagai perintah dan larangan
dari Allah, RasulNya dan UlilAmri. Manakala non-Muslim mematuhinya
sebagai undang-undang negara yang mengawal hal-ehwal mereka dan menjaga
kehidupan serta hak-hak mereka seperti mana juga Muslim. Hal ini adalah
selaras dengan kaedah yang berbunyi, “Mereka yang mendapatkan keadilan
yang sama seperti kaum Muslimin, juga akan dipertanggungjawabkan
sepertimana kaum Muslimin” .
● Non-Muslim dibenarkan untuk mengamalkan kepercayaan mereka, sembahan,
makanan dan pakaian di samping hal-hal yang berkaitan perkahwinan dan
perceraian, menurut agama mereka, sesuai dengan peruntukan undang-undang
umum. Mereka berhak menikmati segala hak sebagaimana Muslim. Contoh
yang paling ketara dalam hal ini ialah berkenaan peruntukan al-milkiah
al-ammah (hak-milik umum / public ownership) dan pembahagian produk
serta kekayaan Negara secara adil kepada semua warganegara.
● Tidak ada perbezaan dalam Negara Khilafah darihal memerhatikan
(menjaga) hal-ehwal Muslim dan non-Muslim. Negara akan memberi pelayanan
sama rata kepada semua kaum dan tidak membezakan di antara orang-orang
Kurdi, Arab, Turki dan sebagainya. Firman Allah,
“Sesungguhnya orang yang paling mulia di kalangan kamu ialah yang paling bertakwa” [TMQ al-Hujurat (49):13].
Negara akan menganggap semua seruan kepada perkauman, puak, bangsa atau
etnik sebagai seruan perpecahan dan jahiliyyah yang akan
memecah-belahkan umat dan Negara, di samping merupakan dosa besar.
Tangan-tangan Barat yang telah (dan masih) berusaha dengan agenda
jahatnya untuk memecah-belahkan, melemahkan dan menjadikan umat Islam
setia kepada mereka bukannya kepada Allah, RasulNya dan orang-orang
beriman, hendaklah diputuskan.
● Islam memastikan, melalui polisi ekonominya, pemenuhan keperluan asas -
makanan, pakaian dan tempat tinggal bagi setiap individu warganegara.
Islam juga memperbolehkan seseorang itu memenuhi keperluan sekundernya
sebanyak mana yang ia mampu. Islam juga memastikan semua warganegara
mendapat hak untuk keselamatan, pendidikan, perubatan dan lain-lain
kemudahan awam. Hukum-hukum Islam juga menjelaskan tentang tatacara
pemilikan, pengembangan dan pengelolaan harta. Islam menjelaskan tentang
jenis-jenis pemilikan yang berupa pemilikan individu, negara dan
pemilikan awam seperti minyak dan bahan galian yang mana semua orang
berhak menikmati hasilnya. Islam menjelaskan hukum-hakam berkenaan
tanah, agar tidak ada satu inci pun tanah pertanian yang dibiar tanpa
diusahakan. Islam telah menjadikan emas dan perak sebagai asas kepada
mata wang, justeru memastikan kestabilan kadar pertukaran yang
menghasilkan kestabilan harga komoditi. Islam telah menggariskan
hukum-hakam berkenaan pertukaran mata wang, yang sekali gus mencegah
Negara dari jatuh ke dalam krisis sebagaimana yang terjadi di dalam
sistem Kapitalis. Islam telah menggariskan terma-terma perniagaan sesama
individu yang tidak memerlukan campur tangan dari Negara dan Islam
menggariskan terma-terma perdagangan antarabangsa yang dikendalikan di
bawah pengawasan Negara. Islam membenarkan penubuhan syarikat
berdasarkan hukum syarak dan mencegah dari berlakunya monopoli. Islam
mengharamkan riba, penjualan hutang, menjual sesuatu yang tidak dimiliki
dan penipuan. Secara keseluruhannya, semua polisi ini telah mengambil
kira model masyarakat yang disasarkan yang menjadikan masyarakat hidup
aman damai dan sejahtera di bawah konsep halal dan haram. Masyarakat
bekerja dalam rangka mengagihkan kekayaan kepada setiap anggotanya dan
menjadikan harta benda sebagai hamba (berkhidmat) kepada manusia,
bukannya menjadikan manusia sebagai hamba kepada harta benda.
● Hubungan luar Negara Khilafah dengan negara-negara lain (negara kufur)
dibangun berdasarkan hukum Islam yakni dengan mendakwahkan mereka
kepada Islam dan melancarkan jihad fi sabilillah jika wujud halangan
fizikal untuk sampainya agama Allah kepada mereka. Negara Khilafah
terikat dengan hukum syarak dari segi mengadakan konvensyen, perjanjian
damai, gencatan senjata dan hubungan diplomatik dengan negara kufur.
Berhubung dengan jalan (road map) yang mana kami harap dapat mewujudkan
Negara Khilafah selepas kejatuhan rejim ini, kerangka umumnya adalah
didasarkan kepada metodologi Rasulullah SAW di dalam membawa perubahan,
yang boleh diringkaskan seperti berikut:-
● Kaum Muslimin di Syria secara amnya mengetahui bahawa mereka ingin
menjatuhkan rejim dan sebagai gantinya, ingin kembali menegakkan hukum
Allah melalui penegakan Daulah Khilafah dengan mengikuti jejak langkah
Rasulullah, di mana baginda telah menggerakkan pandangan umum (ra’yul am
/ public opinion) terhadap Islam di Madinah, sejurus sebelum tegaknya
Negara Islam pertama. Aspek ini sebenarnya telah wujud di dalam umat
Islam sejak sekian lama, dan setelah ‘Arab Spring’ ia menjadi semakin
jelas dari sebelumnya, dengan rahmat Allah SWT – khususnya kepada warga
Syria yang telah mula melaungkan Negara Khilafah siang dan malam. Barat
tidak lagi dapat menyembunyikan ketakutan dan kebimbangannya bahawa
Islam akan menjadi pengganti kepada era penjenayah sekular Syria.
Bagaimanapun, ia tetap menjadi tugas bagi mereka yang menjadi pemimpin
dalam pandangan dan pemikiran (leaders of opinion and thought) yang
berpegang dengan pemikiran Islam, untuk melipatgandakan usaha demi
menperjelas dan mengkristalkan pemahaman tentang sistem Islam dalam diri
mereka dan kepada umum, agar tidak ada seorang Muslim pun yang akan
tertipu dengan gerakan yang membawa slogan Islam tetapi hakikatnya
berpegang teguh dengan projek sekular di bawah nama negara sivil
demokrasi.
● Orang-orang beriman yang memiliki pengaruh dan kekuatan (ahlul quwwah)
daripada pegawai-pegawai tentera dan kelompok yang bersenjata, yang
terdiri daripada mereka yang ikhlas, hendaklah bergerak untuk menegakkan
Khilafah. Mereka mesti bekerjasama untuk mencegah Barat, agen dan
kakitangannya daripada mendekati politikus sekular, menghampiri
kekuasaan dan membuat keputusan.
Keadaan ini sebenarnya telah mula dapat dilihat, dengan rahmat Allah
SWT, dari kalangan ahlul quwwah, yang telah mengisytiharkan bahawa
mereka ingin memerintah dengan Islam. Kami bersyukur kepada Allah kerana
menganugerahkan umat ini, orang-orang yang memiliki kepakaran dalam
bidang pentadbiran, politik, pengurusan, perundangan dan ekonomi, yang
kesemuanya menjadi persiapan dalam meraih tugas yang besar ini.
Kami di HizbutTahrir mengisytiharkan melalui sidang media ini bahawa
kami bergerak bersama mereka yang ikhlas dalam revolusi ini dan
mengerahkan segala potensi, kebolehan dan kemampuan yang kami ada, demi
meraih apa yang dihajati (Negara Khilafah), yang mana usaha dan
kejayaannya sudah semakin tampak dan apa yang penting, ia akan membawa
perubahan yang sebenar dengan izin Allah. Revolusi ini telah dikelilingi
dengan liwa’ (bendera) dan rayah (panji) Islam. Tekak para demonstran
dibasahi dengan laungan takbir dan seruan “Kami mahukan Syria Negara
Khilafah” dan “Umat inginkan Khilafah semula”. Anggota-anggota
HizbutTahrir wujud di jantung revolusi dan Pejabat Media HizbutTahrir
Wilayah Syria dibuka sebagai saluran komunikasi dan interaksi dengan
revolusi. HizbutTahrir secara umum dan cawangannya di Syria secara
khusus, telah mengikuti perkembangan revolusi sejak ia mula tercetus,
hari demi hari, malah saat demi saat. HizbutTahrir sentiasa mengeluarkan
kenyataan dan buletin seiring dengan berita terbaru revolusi dalam
usaha memperteguh peserta revolusi, mengangkat keazaman mereka dan
menyebarkan kesedaran di kalangan mereka tentang konspirasi yang diatur
ke atas mereka, mengingatkan mereka agar sentiasa mengaitkan revolusi
dengan objektif yang benar agar oportunis tidak dapat mengambil peluang.
Kami memohon kepada Allah SWT agar memberikan kejayaan kepada usaha ini
dan menganugerahkan kemenangan dan kegembiraan secepat mungkin dengan
tegaknya Negara Khilafah; dan hal ini sesungguhnya amat mudah bagi
Allah. Allah SWT berfirman,
“Dan Kami hendak memberi kurnia (dengan memberikan pertolongan)
kepada orang-orang yang tertindas di negeri itu dan hendak menjadikan
mereka pemimpin-pemimpin serta menjadikan mereka orang-orang yang
mewarisi (bumi)” [TMQ al-Qasas (28):5].
MANIFESTO HIZBUT TAHRIR UNTUK REVOLUSI AL-SYAM: KE ARAH LAHIRNYA KHILAFAH ALA MINHAJ NUBUWWAH KALI YANG KEDUA mykhilafah.com/sautun-nahdhah/3648-sn320-manifesto-hizbut-tahrir-untuk-revolusi-al-syam-ke-arah-lahirnya-khilafah-ala-minhaj-nubuwwah-kali-yang-kedua